KOPERASI PEGAWAI KERAJAAN NEGERI MELAKA BERHAD DINOBATKAN KOPERASI TERBAIK NEGERI MELAKA TAHUN 2026.
8 Oktober 2026 (Khamis) – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Melaka telah menganjurkan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 (MAGK’26) Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Hotel DoubleTree by Hilton, Melaka. Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka.
Majlis ini menjadi platform penghargaan kepada gerakan koperasi negeri atas kecemerlangan, komitmen dan sumbangan dalam memperkasakan sektor koperasi di Negeri Melaka.
Antara acara kemuncak majlis ialah pelancaran Buku Profil Gerakan Koperasi Negeri Melaka Tahun 2026, yang memaparkan profil 35 buah koperasi terbaik di negeri ini, selain penyampaian sijil dan trofi sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian koperasi.
Lebih membanggakan, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad telah dinobatkan sebagai penerima Tempat Pertama Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Melaka Tahun 2026. Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna serta menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk meningkatkan kecemerlangan tadbir urus, memperkukuh perkhidmatan dan memajukan gerakan koperasi.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Datuk Wira Salhah binti Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; YBhg. Datuk Tuminah binti Kadi @ Mohd Hassim, mantan Timbalan EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka; YBrs. Tuan Haji Mohd Marzuki bin Yasoa’, Ketua Pegawai Eksekutif SKM; YBrs. Encik Mustafa Kamal bin Mohd Nor, Pengarah SKM Cawangan Negeri Melaka; serta YBrs. Puan Roziah binti Mohamed, Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Selatan.
Tahniah diucapkan kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad atas kejayaan meraih pengiktirafan berprestij ini. Semoga pencapaian ini terus menyuntik semangat untuk melakar lebih banyak kejayaan, memperkukuh kesejahteraan anggota dan menjadi inspirasi kepada gerakan koperasi di Negeri Melaka.
Ikhlas Daripada :
Pengerusi, Anggota Lembaga , Seluruh Warga Kerja dan Anggota Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad (KPKNMB).